:: SELAMAT DATANG KE PORTAL UNIT HEM SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI ::

SKPHEM Label

3K (14) APDM (1) Bantuan dan Kebajikan (14) Bimbingan Kaunseling (8) Disiplin (17) Hari Guru (1) Kantin (2) Kehadiran (3) PIBG (6) PPDa (2) Pra Sekolah (9) S1M (1) SKPMg2 2017 (10) SPBT (4) Umum (38)

Ahad, 19 Februari 2017

Kewajaran Yuran PIBG



Assalamualaikum w.b.t

Yuran PIBG sering menjadi isu setiap kali sesi persekolahan bermula. Terdapat sesetengah ibu bapa yang akan mempertikaikan apabila sekolah meminta yuran PIBG kerana pada tahun 2011 kerajaan telah memansuhkan pengutipan sebarang yuran ketika sesi pembukaan sekolah.
Langkah ini bertujuan bagi memastikan ibu bapa tidak terbeban dengan bayaran yang tiada kaitan dengan hal persekolahan. Sekolah lebih digalakkan untuk mendaptkan dana daripada sektor korporat dan pihak lain bagi membiayai kegiatan seperti kelas tambahan. Ibu bapa  seharusnya memahami masalah guru di sekolah. Memang yuran persekolahan sudah dimansuhkan. Namun yang demikian, guru-guru di sekolah perlu meminta kerjasama daripada ibu bapa untuk memberi sedikit sumbangan kepada sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sumbangan bagi Program Peningkatan Akademik (PPA) yang dirancang pihak sekolah.

Sumbangan untuk PIBG adalah sinonim dengan yuran PIBG, seperti kelaziman persatuan lain mengenakan yuran kepada ahlinya. Kebiasaannya satu keluarga, satu yuran. Ada juga PIBG mengenakannya mengikut bilangan anak yang bersekolah. Bergantung kepada persetujuan dalam mesyuarat agung. Sumbangan bagi PPA pula bertujuan membiayai semua kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam pelajaran mereka. Kebiasaannya dikenakan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Ada juga sekolah yang mengadakan program untuk pelajar tingkatan satu, dua dan empat, tetapi kadarnya jauh lebih rendah berbanding pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam. Semua keputusan mengenai membuat kutipan yang dibuat di sekolah telah dirancang, dibahaskan serta diputuskan dalam mesyuarat agung PIBG bagi memastikan ia ada kaitan dengan kepentingan persekolahan anak-anak. Kutipan ini juga digunakan sepenuhnya untuk membiayai program yang dijalankan oleh pihak sekolah seperti kelas tambahan, bengkel dan seminar akademik, hari sukan dan kegiatan kokurikulum sejajar dengan hasrat merealisasikan impian ibu bapa yang mahu anak-anak berjaya dalam pelajaran dan membantu mencungkil potensi dan bakat dalam diri anak-anak.

Ini tidak pula bererti wang sumbangan ibu bapa sahaja yang digunakan untuk membiayai kegiatan berkenaan. Wang sumbangan ibu bapa hanyalah untuk menampung sebahagian kecil kos pelaksanaan program di sekolah, kerana selebihnya menggunakan wang peruntukan kerajaan kepada sekolah. Jika pihak sekolah menggunakan wang peruntukan kerajaan sahaja untuk melaksanakan kegiatan di sekolah, jumlah aktiviti dan program yang boleh dilaksanakan adalah terhad kerana peruntukannya juga terhad berbanding harapan dan impian besar ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Semua wang sumbangan ibu bapa digunakan sepenuhnya untuk membiayai program pelajar. Tiada satu sen pun untuk saku guru. Di kebanyakan sekolah, guru-guru tidak menerima sebarang imbuhan pun, baik dalam bentuk wang atau benda, sekalipun mereka menjalankan kelas tambahan di luar waktu persekolahan. Bahkan sering terjadi, guru-guru menggunakan wang dan kenderaan mereka sendiri untuk membawa pelajar menyertai kegiatan kokurikulum di luar waktu dan kawasan persekolahan.

Mendapatkan sumbangan syarikat korporat dan pihak lain bagi membiayai kelas tambahan di sekolah, memang cadangan yang baik. Soalnya, berapa banyakkah syarikat yang bersedia berbuat demikian? Bukan tidak ada, tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Dengan itu, jumlah sekolah dan program yang sanggup mereka taja juga terhad. Bahkan syarikat yang mendapat kontrak pembekalan dan perkhidmatan dengan pihak sekolah pun belum tentu sanggup memberi sumbangan ribuan ringgit setiap tahun! Itulah realitinya. Begitu jugalah halnya dengan sumbangan persatuan bekas pelajar dan sumbangan peribadi bekas pelajar, boleh dibilang dengan jari kerana sangat terhad. Sumbangan untuk PIBG, PPA dan program lain di sekolah sebenarnya dibuat setahun sekali sahaja, bukan setiap bulan. Tidak cukup dengan itu, ibu bapa diberi kelonggaran sama ada bayarnya sekali gus atau beberapa kali. Jika dinisbah dengan tempoh persekolahan kira-kira 10 bulan setahun, jumlah wang yang disumbangkan setiap bulan bagi tujuan membantu menjayakan program persekolahan anak-anak kita adalah antara RM10 dan RM30 sahaja sebulan. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan lain pada setiap bulan. Benarkah perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak merupakan beban bagi kita? Tidak pernahkah kita terfikir bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk persekolahan dan pendidikan anak-anak sebenarnya adalah pelaburan untuk masa depan mereka?


Jika diteliti senario hari ini, semua pelajar tidak kira siapa pun ibu bapa mereka, mendapat bantuan buku teks percuma. Tidak cukup dengan itu, setiap pelajar turut mendapat wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 setiap tahun, tidak kira berapa pun pendapatan ibu bapa mereka. Bagi keluarga miskin pula, anak-anak mereka turut mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) antara RM450 dan RM900 seorang setiap tahun, bergantung pada tahap persekolahan dan kemiskinan. Wang bantuan persekolahan dan KWAPM itu bertujuan membantu ibu bapa membiayai perbelanjaan persekolahan anak-anak, termasuklah untuk sumbangan kepada PIBG dan PPA. Soalnya, adakah wang itu digunakan seperti yang sepatutnya?

sumber asal: SGO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan