PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon
semua media termasuk portal berita atas talian supaya berhenti menyiarkan
ulasan sebuah NGO mewakili ibu bapa dan guru, dengan alasan ia tidak
“diiktiraf” mahupun menjalinkan sebarang kerjasama dengan kerajaan.
Akhbar dalam talian, Free Malaysia Today
melaporkan, surat yang ditandatangani Ketua Komunikasi Korporat KPM, Hazran
Mohamed itu mendakwa Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional
(PIBGN) sebagai sebuah badan yang tidak pernah berperanan meningkatkan mutu
pendidikan negara, dan mahu semua media berhenti mendapatkan komen presidennya,
Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan.
“Ini memandangkan PIBGN tidak pernah memberikan
sumbangan khusus, idea mahupun inovasi dalam meningkatkan mutu pendidikan negara,”
menurut surat yang turut diterima melalui pos.
“KPM memohon agar pihak media tidak menggunakan
sebarang pandangan atau komen pihak berkenaan khususnya melalui Presiden PIBGN
iaitu Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan berkenaan pendidikan dalam negara khususnya
di peringkat Prasekolah hingga lepasan Menengah.”
Ketika dihubungi wartawan, Mohamad Ali menolak
dakwaan itu sambil menyifatkan tuduhan PIBGN tidak menyumbang kepada pendidikan
negara sebagai berbaur fitnah dan “zalim”.
“Mengatakan saya langsung tidak beri idea agak
melampau amat sangat rasanya. Malah tidak berperikemanusiaan. Di mana sebenar
integriti pihak KPM?” kata pakar geologi itu kepada FMT.
“Biarlah KPM buat dosa kering bulan puasa ini.”
Menurutnya, PIBGN direstui oleh KPM sejak dulu dan
terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk menyertai jawatankuasa dibentuk atas
undangan KPM.
Mohamad Ali kerap memberi kritikan dan ulasan tajam
terhadap beberapa keputusan KPM di samping kontroversi berkait sistem
persekolahan, termasuk ketika hangat isu sekolah tahfiz susulan kematian
pelajar Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, April lalu.
Tahun lalu, Mohamad Ali menyeru kerajaan mengkaji
semula 1BestariNet, projek membekalkan lebih 10,000 sekolah kerajaan dengan
khidmat internet, dengan kontrak bernilai RM4.1 bilion diberikan kepada YTL
Communications Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.
Tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
(PAC) mempersoalkan projek itu dan mencadangkan agar ia dibatalkan, susulan
pelbagai aduan mutu rangkaian internet.
Mohamad Ali berkata surat KPM itu tidak langsung
menghalangnya menjalankan tanggungjawab bersuara mengenai isu pendidikan.
“Nak iktiraf atau tidak iktiraf itu hak mereka.
“Saya ikhlas menjalankan tugas dan tanggungjawab
saya,” kata bekas ketua Jabatan Geologi Universiti Malaya itu.
Sumber: Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan