:: SELAMAT DATANG KE PORTAL UNIT HEM SEKOLAH KEBANGSAAN PANJI ::

SKPHEM Label

3K (14) APDM (1) Bantuan dan Kebajikan (14) Bimbingan Kaunseling (8) Disiplin (17) Hari Guru (1) Kantin (2) Kehadiran (3) PIBG (6) PPDa (2) Pra Sekolah (9) S1M (1) SKPMg2 2017 (10) SPBT (4) Umum (38)

Jumaat, 12 Mei 2017

Isu Perpaduan; Tangani Dengan Bijaksana dan Berhikmah - MPSM


BUKIT MERTAJAM 12 Mei - “Tangani dengan bijaksana dan penuh hikmah.”

Itu prinsip yang dipegang oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) apabila ditanya mengenai isu perpaduan dalam kala­ngan pelajar dewasa ini.

Menurut Jamaludin Yaacob, isu perpaduan antara kaum di negara ini adalah isu penting yang sering dan hangat dibincangkan apabila timbul pelbagai isu yang menggugat keharmonian.

Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) itu me­ngakui Kementerian Pendidikan telah lama melaksanakan program RIMUP atau Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan di peringkat sekolah rendah lagi.

Namun, katanya, usaha me­ng­galakkan perpaduan itu se­akan-akan terhenti apabila pe­lajar meninggalkan alam per­sekolahan dan membawa haluan masing-masing sama ada me­nyambung pengajian ke pe­ringkat lebih tinggi atau mencari pekerjaan.

Selepas tamat persekolahan, ujar beliau, aspek penyatuan antara kaum itu seolah-olah terputus dan setiap pelajar membawa haluan sendiri sehingga wujudnya pelbagai isu yang bo­leh menggugat keharmonian.

“Isu perpaduan ini sentiasa diambil cakna oleh pihak sekolah, malah selaku YDP MPSM, perkara ini menjadi topik utama yang sering dibincangkan supaya tidak berlarutan.

“Pada saya, isu menggalakkan integrasi antara kaum ini tidak harus terhenti pada satu tahap sahaja dan semua pihak tidak boleh berpuas hati sekadar melihat anak-anak pelbagai kaum duduk semeja makan bersama atau mengulang kaji pelajaran dalam satu kumpulan,” katanya ke­tika ditemui di sini baru-baru ini.

Tanpa berselin­dung, Jamaludin me­­ngakui isu perpa­duan dalam kala­ngan lepasan sekolah agak kritikal sehingga banyak isu kecil melibatkan perbezaan pendapatan antara kaum menjadi tular dan diperbesar-besarkan.

Jelasnya, toleransi serta komunikasi antara kaum yang membentuk keharmonian dan menggalakkan keamanan sepatutnya diteruskan seperti yang dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini.

“PLKN adalah salah satu contoh terbaik menggalakkan perpaduan dan rasa kebersamaan antara kaum kerana sepanjang program itu mereka melakukan semua aktiviti bersama dan meletakkan perbezaan di luar kem.

“Selepas sekolah, program-program melibatkan semua lapisan masyarakat ini harus dite­ruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta kementerian lain secara aktif,” ujarnya.

Jamaludin ber­kata, jika dilihat di negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan, aspek perpaduan bercambah sejak di peringkat sekolah rendah dan berterusan biarpun selepas mereka masuk ke alam pekerjaan.

Ketika ditanya apakah harapan beliau yang masih belum selesai sebagai YDP MPSM, ujar Jamaludin, beliau mahu pentadbir sekolah meletakkan aspek perpaduan sebagai impian bersama oleh semua sekolah.

Selain itu, katanya, program seperti RIMUP harus diteruskan sama ada di peringkat mikro di sekolah, makro di peringkat daerah seterusnya mega melibatkan penyertaan seluruh negeri dan negara.

“MPSM tidak harus berhenti setakat untuk menggalakkan perpaduan malah perjuangan ini perlu dilaksanakan di semua sekolah dan pusat pengajian,” katanya.


Sumber: Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan